CONTOH TEXT FORUM PENDERAAN KANAK KANAK.
Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia. Juga salam sejahtera kepada penonton bukan muslim.
Sidang penonton sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam siaran hari ini bersama saya Amali Hadif pada pagi yang berbahagia ini. Penonton yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, isu penderaan kanak kanak semakin menjadi jadi dan lebh membimbangkan, statistic penderaan kanak kanak semakin meningkat saban tahun. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Penderaan kanak: Apa dosa mereka yang tidak bersalah? Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan dua orang ahli panel kita pada hari ini. Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, ...................................... Apa khabar saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Encik Pengerusi. Tuan Pengerusi macamana?
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga. Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari .................................................................... Selamat datang Dr. Dr sihat?
Panel kedua : Sihat Alhamdulillah, terima kasih tuan pengerusi.
Pengerusi: Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama,
Apakah punca utama yang menyebabkan kes penderaan kanak kanak ini semakin menigkat?
Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang kacak bergaya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Banyak sebenarnya yang menjadi punca kepada penderaan kanak ini. Antaranya adalah Masalah ibu bapa yang mempunyai tekanan kerja di tempat kerja sehingga dibawa kerumah dan mereka seringkali melepaskan tekanan tersebut kepada kanak kanak. Seperti kita sedia maklum,Tabiat anak-anak yang masih kecil memang setika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Jadi tidak wajar untuk ibu bapa melepaskan geram terhadap mereka yang masih memerlukan kasih saying ibu bapa.
Punca kedua adalah daripada masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan.
Punca seterusnya adalah krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
Pengerusi: Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan tentang anak anak menjadi mangsa sepak terajang ibu bapa. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah kesan penderaan tersebut terhadap kanak kanak?
Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah. Kesan penderaan kepada kanak kanak ini terbahagi kepada dua iaitu dari segi fizikal dan mental. Jangan kita tidak tahu, penderaan fizikal ini boleh menyebabkan kesan lebam dan luka, dan lebih menakutkan, ia boleh menyebabkan kecacatan anggota badan seperti patah patah dan sebagainya.
Pada bulan Mac 2010 kita dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menjadi mangsa penderaan teman lelaki kepada ibu kandung sendiri. Allahyarham adik Syafia Humairah Sahari telah didera dengan kejam sehingga mengalami kecederaan dalaman yang kritikal sehingga menyebabkan kematian.
Dari segi mental pula, kanak akan mengalami tekanan jiwa dan gangguan emosi yang boleh menyebab seseorang kanak kanak itu menjadi gila ataupun trauma dengan keadaan sekeliling. Mereka akan menjadi takut bila melihat golongan dewasa dan beranggapan bahawa golongan dewasa ini adalah golongan pendera yang akan menyakitkan mereka.
Setelah mereka dewasa, mereka akan lebih cenderung untuk menjadi individu yang suka memberontak dan kurang ajar terhadap kedua ibu bapa mereka dan masyarakat sekeliling. Sifat ini disebabkan oleh kedua ibu bapa yang sering meninggikan suara dan memarahi mereka tanpa sebab yang munasabah.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas ulasan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa kes penderaan kanak kanak ini berpunca daripada ibu bapa mereka sendir. Tetapi kita juga tahu kes penderaan kanak kanak ini juga turut dilakukan oleh orang gaji atau pengasuh kanak kanak tersebut. Saya ingin meminta pendapat DR Nabilah tentang penderaan yang dilakukan oleh orang gaji atau pengasuh kanak kanak.
Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Sebenarnya kes penderaan yang dilakukan oleh pengasuh atau orang gaji dicatatkan lebih sedikit berbanding kes penderaan yang dilakukan oleh ibu bapa itu sendiri. Tetapi kita juga tidak boleh menutup mata kerana kes penderaan oleh pengasuh ini banyak dijadikan viral di media social dan kes penderaan daripada ibu bapa ini banyak disembunyikan dan tidak dipertontonkan kepada umum.
Kes penderaan oleh orang gaji ini mungkin disebabkan oleh jumlah gaji yang dibayar majikan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh pengasuh. Faktor yang kedua pula adalah perangai kanak kanak yang terlalu nakal yang membuatkan pengasuh geram dan tidak tahan dengan kenakalan mereka menyebakan pengasuh berlaku sedikit kejam terhadap kanak kanak tersebut.
Seterusnya adalah kurang sifat keibuan didalam diri pengasuh. Seperti yang kita lihat, majikan lebih cenderung mengambil pengasuh dan orang gaji yang muda dari negara jiran dan mereka ini masih belum mempunyai pengalamam menjaga dan mendidik kanak kanak. Ini membuatkan pengasuh cepat marah dan bertindak diluar jangkaan.
Pengerusi: Begitu hebat pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana. insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara keseluruhannya apakah langkah yang perlu diambil bagi mengatasi kes penderaan kanak kanak ini?
Panel Kedua: Terima kasih saudara pengerusi atas soalan yang diajukan. Langkah yang perlu diambil bagi mengatasi kes penderaan ini adalah yang pertama, ibu bapa itu sendiri perlu memainkan peranan penting dalam mengawal emosi dan perasaan supaya tidak melepaskan masalah dan kemarahan kepada kanak kanak. Jika ibu bapa tidak mampu mengawal emosi boleh lah merujuk kepada pakar kaunseling kekeluargaan untuk mendapat nasihat dan kaunseling.
Ibu bapa juga perlu bersedia untuk mempunyai anak anak. Kerana sepanjang pemerhatian saya, kes penderaan kanak kanak ini biasa nya berlaku dikalangan ibu muda yang berkahwin dan mempunyai anak diusia muda. Tidak menjadi salah untuk mendirikan rumah tangga di usia muda, tetapi faktor kematangan dalam mengatasi masalah sangat penting. Selain itu faktor ekonomi rumah tangga juga boleh menyebabkan penderaan seperti yang dinyatakan oleh Dr Nabilah sebentar tadi.
Selain itu dengan mengadakan kursus pengurusan rumah tangga juga penting seperti mempelajari ilmu pendidikan kekeluargaan dan memberikan ilmu agama supaya mereka lebih mengamalkan kehidupan berlandaskan agama yang betul. Kerana tanpa ilmu kekeluargaan yang kuat, rumah tangga mereka akan senang goyah dan yang menjadi mangsa untuk melepaskan masalah adalah anak anak yang tidak bersalah.
Selain itu, peranan masyarakat dalam usaha membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat mungkin. Lagipun, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak sesuka hati. Dalam konteks ini, masyarakat haruslah menyemai sikap jaga tepi kain orang untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku Semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak.
Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Banyak input input yang berguna yang dilontarkan oleh kedua panel kita. Semoga input input ini boleh dijadikan panduan dan teladan oleh ibubapa diluar sana. Sayangilah anak anak anda kerana mereka adalah permata yang tidak ternilai dan tiada galang gantinya lagi.
Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri. Wallahu’alam Saya akhiri forum kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia. Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh
p/s: saja ja aku letak forum dekat blog, sebab hari khamis ni aku kena buat forum dekat kelas, Alang alang tak tahu nak update apa, letak saja lah forum ni. Mungkin berguna untuk rujukan. Maaflah kalau ada tersilap mana mana, boleh edit sendiri ya. Ni cincai [unya text je ni. Adik adik yang nak guna untuk SPM ke PMR ka, boleh edit balik sikit sikit ya.